Pada 27hb Disember 2008, kembalinya ke Rahmatullah, Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang YDPB Negeri Sembilan. 41 tahun Almarhum memerintah Negeri Sembilan Darul Khusus. Umumnya raayat di Negeri Sembilan amat mengenali Almarhum Tuanku sebagai YDPB terutama dikalangan generasi muda. Lebih-lebih lagi anak-anak Almarhum yang aktif dalam pelbagai bidang, baik perniagaan,persatuan,sukan dan kebajikan.
Almarhum Tuanku memang banyak meninggalkan kenangan dan jasa kepada raayat, terutamanya di Negeri Sembilan. Saya sendiri saban tahun pada awal 80'an, ke istana besar di Sri Menanti mewakili pihak syarikat MNC untuk menghantar sumbangan berupa barangan pada hari jadi Almarhum. Itulah yang selalu saya lakukan setiap tahun sehingga 1987 bilamana saya telah ditukarkan ke-tempat lain.
Saya berpeluang memasuki istana dan sekitar kawasan , hingga ke ruang dapur hampir setiap kali ada urusan dengan istana. Banyak perkara yang saya lihat dan rasanya tak payahlah saya nyatakan secara terperinci. Ringkasnya bermacam ragam laku, baik dikalangan kerabat dan orang besar istana.
Walau macam mana pun Almarhum Tuanku, memanglah manusia yang berhemah tinggi, baik dalam tutur kata dan hubungannya dengan raayat. Selalunya begitulah, yang menjadi YDPB begitu baik hemah dan hubungan dengan raayat- tetapi kerabat yang lain-lain serta orang-orang besar istana yang ramai jumlahnya itu paham-paham sahajalah. Kadang perlakuan mereka lebih - lebih pulak.
Krisis dalam hubungan raja dan eksekutif juga berlaku di Negri Sembilan semasa, pemerintahan Almarhum YDPB Tuanku Jaafar. Raayat Negeri Sembilan masih ingat semasa pimpinan politik sebelum MB sekarang. Biasalah itu, bukan hanya berlaku di Negri Sembilan malah berlaku juga dinegeri-negeri lain.
Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Seharusnya memang begitulah adat-perpatih yang harus dipegang. Kerana dasar adat yang dipakai atas sifat keadilan. Saya begitu terasa, apabila Tuanku Muhriz dimayshurkan sebagai YDPB ke sebelas setelah mangkatnya Almarhum Tuanku Jaafar. Seolah-olah adat-perpatih yang kian dipersoalkan akan keadilannya kini terpahat ditempat sebenarnya.
Barulah saya rasakan Undang yang Empat mengambil peranan sebenar sebagai raja wilayah yang berkuasa sebagaimana yang termaktub dalam adat perpatih. Umpama kata adat: Anak buah menjadikan buapak, buapak menjadikan Dato Lembaga, Dato2 Lembaga menjadikan Undang dan Dato Undang menjadikan Yang di Pertuan. Bertali arus kuasa anak buah atau raayat yang menjadikan YDPB.
Itulah yang diharapkan oleh raayat Negeri Sembilan, kalau benar adat bersendikan syarak dan syarak pula bersendikan kitab Allah SWT. Pada tarikh 29hb Disember 2008, terpancar hak Dato Undang yang empat dalam lingkungan Adat Perpatih. Memilih dan melantik berdasarkan adat-Dato Perpatih nan- sebatang. Menjadikan YDPB bukanlah kerja politik, tiada lobi-melobi, tiada menyinsing lengan dan menghentak meja. Hanya peraturan adat yang sebenar itulah yang harus dilakukan. Syabas kepada Dato Undang yang Empat,teruskanlah menjaga keadilan, hak dan kehendak adat itu sendiri.
Kalau begitu rupa dan sikap Dato Undang yang Empat, rasa sayang dan hormat pada adat-perpatih akan bertambah. Sebaiknya, Dato Undang Yang empat serta pembesar istana yang lain dapat menjadi contoh baik kepada raayat jelata di Negeri Sembilan.
Kalau YDPB Tuanku menjadi payung raayat sebagai menyambut lafaz Duli Yang Di Pertuan Tuanku Muhriz " Yakinlah beta akan membela dan menjaga raayat dialam Negeri Sembilan ini" sayugianya lah semua ketua-ketua adat, baik Dato2 Undang, Lembaga dan buapak mengambil contoh.
Jangan berperanan seperti orang yang berpolitik. Menjadi ketua-ketua adat dalam masyarakat Negeri Sembilan mestilah memainkan peranan yang memperkasa adat itu sendiri. Terutamanya dikalangan Dato-Dato Lembaga dan Buapak-buapak. Raayat di Negeri Sembilan bukanlah bagai manusia dicucuk hidung, malah ramai dikalangan anak-anak buah(raayat biasa melayu) jauh lebih maju dan berkedudukan disegi material dan ilmu agama.
Maka Dato-Dato Lembaga serta buapak-buapak jangan berkelakuan " kaduk naik junjung" atau bagai "beruk dapat cincin". Bila telah menjadi ketua adat seperti Dato Lembaga atau Buapak jangan hilang pertimbangan, jangan sombong, bangga diri dan anak buah dibuat sesuka hati. Seharus Dato lembaga dan buapak tahu tanggung jawab, dalam memakmurkan anak-anak buah dalam kelompok sukunya. Jangan bangga dengan gelaran Dato yang disandang tetapi harus insaf akan tanggung jawab yang harus dilaksanakan.
Bagi saya rasa ingin dihormati mestilah diraih melalui jasa dan budi-bicara serta keadilan dalam menyelesaikan masaalah anak-anak buah. Bukan bersikap pilih kasih dan berat sebelah,mudah dibeli dengan wang ringgit dan hadiah. Bersikap adil - seharusnya meletak sesuatu perkara ditempatnya yang hak. Jangan adat dikesampingkan kerana ingin menjaga perut sendiri.
Jadi besarlah hati raayat Negeri Sembilan bila Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilantik menjadi YDPB yang kesebelas. Agar kebawah Duli Tuanku menjadi kebanggaan raayat di Negeri Sembilan, moga Tuanku dapat mengikut jejak langkah Almarhum ayahanda Tuanku - Tuanku Munawir.
Saya masih ingat lagi, sekitar awal tahun 60'an, Almarhum ayahanda Tuanku walaupun menjadi YDPB hanya beberapa tahun sahaja tetapi kemesraan dan dekatnya almarhum dengan raayat begitu jelas sekali. Ketika itu saya masih remaja, kami penduduk kampung yang jauh dipendalaman menyambut Almarhum Tuanku Munawir setakat yang mampu sahaja. Namun Almarhum Tuanku Munawir tidak meminta itu semua, berjalan seiring dengan raayat jelata melihat keadaan raayatnya. Almarhum Tuanku Munawir sesungguhnya Raja Berdaulat.Daulatnya begitu dapat dilihat raayat dengan nyatanya.
Masih ingat, bila ada kerapatan di Istana Seri Menanti raayat jelatalah yang diutamakan. Raayat disekitar Sri Menanti,malah mereka yang kesempatan dari pelusuk negeri akan bermukim di Sri Menanti buat merapat sembah dan meraikan ke bawah Duli Almarhum Tuanku Munawir.
Jadi diharapkan Tuanku Yang Di Pertuan Tuanku Muhriz, menjadi lambang kebangkitan Raja melayu yang "tak lapuk dek hujan, tak kering dek paneh". Semoga Raja Berdaulat mendatangi raayat Negeri Sembilan semula. Juga diharapkan, titian kasih atara Yang DiPertuan dan raayat menjadi nyata dan janganlah putera dan puteri Duli Yang DiPertuan duduk terasing dikalangan elitis dan aristokrat sahaja. Ingatlah dan temuilah raayat, jengok-jengoklah kampong dan tanah adat yang terbiar, rumah pusaka yang tinggal rangka, kerana kurangnya peranan Dato Lembaga dan buapak-buapak dalam menyelesaikan masaalah anak-anak buah ditanah pusako.
Daulat Tuanku!!!
No comments:
Post a Comment