Wednesday, 9 July 2008

RASA KEMANUSIAN YANG SEMAKIN PUDAR

Hari ini raayat terus dibiarkan terombang-ambing bagai kapal layar yang tidak ada haluan. Kemelut yang dihadapi bangsa terus tidak nampak jalan damai. Saban hari perdana menteri, menegaskan negara ok, aman dan kita kerajaan BN teruskan segala perancangan. Benarkah begitu... majoriti raayat tidak merasakanya. Malah kalau dilihat keliling kita, baik dibandar dan dikampung pendalaman apa yang kita dengar dan lihat ialah keluhan raayat dan kesusahan raayat. Mutu kehidupan yang semakin merosot dan mendesak.
Yang sedihnya tidak kelihatan dengan jelas apakah perancangan yang diwar-warkan bagi meringankan kesusahan yang dihadapi raayat jelata. Raayat rata-rata dalam kegelapan dan merintih sendiri-sendiri bagi menghadapi hidup yang semakin menghimpit. Ada tidaknya RM625/ bagi mereka yang bekereta dan RM150/- bagi mereka yang ada motosikal. Bagaimana pula bagi meraka yang tidak ada-apa apa. Golongan inilah yang masih ramai dan terus diselubungi kabut kerisauan dan tekanan mencari cukup untuk menyara keluarga - lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Bayangkanlah !!
Seolah-olah negara dalam suasana lepas perang, siapa ketua, siapa pemimpin tidak jelas peranannya. Malah akhir - akhir ini berbagai pula cerita dan kejadian yang berlaku dikalangan pemimpin. Hampir setiap hari berita yang didengar adalah tentang percakaran, tuduh-menuduh, fitnah - memfitnah dan ulasan-ulasan yang hanya menjurus kepada kepentingan diri dikalangan pimpinan. Gila kuasa, gila nak berkuasa, gila nak jadi pemimpin - gila nak terus memimpin.
Bagaikan tiada lagi pertimbangan, hampir hilang kewarasan, malah semakin pudar rasa kemanusiaan dikalangan pemimpin negara pada hari ini. Hanya untuk melempias nafsu buat memegang tampuk kuasa. Fitnah dan memfitnah begitu subur ditaburkan, bagaikan suburnya rumput dibahu jalan yang dibajai tahi lembu dan kambing.
Adakah fitnah serta sifat perlakuan yang suka tuduh-menuduh itu disebabkan hati yang terlalu terbiasa melakukan dosa-dosa besar atau darah- daging yang membungkus tubuh itu disuburkan oleh makanan yang duit membelinya adalah hasil rasuah dan penipuan dan penyeleweng hak raayat dan khazanah negara.
Begitu hebat perebutan kuasa yang sedang berlaku dikalangan pimpinan sekarang ini. Mereka yang memerintah dan juga dikalangan meraka yang tidak berkesempatan untuk memerintah negara. Hampir sama saja sifat, sikap dan lagak lakunya.
Raayat dibiarkan terkial-kial menempuh sendiri-sendiri dalam menghadapi kehidupan yang semakin susah. Golongan miskin bertambah dalam sekelip mata, selepas kenaikan harga petrol dan disel baru-baru ini. Seolah-olah tiada siapa yang peduli, hampir semua barangan keperluan harian raayat terus naik, baik barang yang kononnya dikawal atau pun tidak. Terus naik, dan naik lagi.
Kurang lebih 3 bulan selepas pilihan raya berlalu, tetapi kemana halatuju dan visi serta misi kerajaan yang memerintah masih samar,hampir tiada visi serta cara bagi membantu kesusahan yang dihadapi raayat.
Agaknya inilah bala yang menimpa negara tercinta ini, bilamana dikalangan mereka yang memimpin tiada lagi keikhlasan memimpin untuk kebaikan raayat dan membangunkan negara tidak lagi menjadi matlamat utama untuk kesejahteraan raayat. Pembangunan hanya dijanakan buat menjadi lubuk membuat serta mencari kekayaan peribadi dan suku sakat dengan cara tidak telus dan rasuah.
Raayat terbiar, kerana pemimpin telah bertukar menjadi penjarah khazanah negara. Bukan lagi untuk membangun ugama, bangsa dan negara tetapi menjana cara agar poket sendiri biar penuh dengan hasil rasuah dan penyelewengan. Sifat kemanusiaan yang telah mula pudar dan mungkin hilang dikalangan pemimpin terus dibiarkan tanpa peduli. Bagi mereka raayat terlalu murah harganya, boleh dibeli dengan wang ringgit atau digula-gulakan dengan barangan lelong.
Tepat sekalilah sabda Nabi SAW, banyaknya fitnah diakhir zaman nanti. Fitnah yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan panas. Pemimpin yang tiada lagi sifat kemanusiaan, kerana tujuan menjadi pemimpin bukan lagi untuk memimpin untuk kebaikan raayat jelata tetapi demi mendapatkan kuasa, untuk memudahkan memunggah khazanah negara, untuk kepentingan diri sendiri, melakukan rasuah dan membuat fitnah demi menjamin tampuk kuasa tidak terganggu.
Kalimah pemimpin yang zalim tiada tempat di-syurga - sabda Nabi SAW, mereka pemimpin yang zalim bukan dari kalangan ummah nya.
Seolah-olah pemimpin yang berugama Islam ini, tiada lagi mencerminkan sifat keIslamannya. Seolah -olah dosa-dosa seperti zina, rasuah, fitnah, tipu, zalim dan sifat tidak adil tidak dilarang agama. Mungkin juga kesesatan liberalisma mula bertahta dihati yang telah hitam lama dan keras, akibat terlalu biasa bergelumang dalam noda-noda rasuah, penipuan dan sebagainya. Rasa kemanusiaan yang semakin pudar, seolah-olah keimanan telah tercabut dari jiwa, maka demi mencapai cita-cita melayan nafsu gila ingin menjadi pemimpin, maka dihalalkan segala cara yang telah jelas haramnya.
Raayat jugalah akhirnya ditimpa derita dan bala kerana dipimpin mereka yang gila kuasa. Kerana bila bala datang ia tidak mengenal siapa.....

No comments: