Saturday, 26 April 2008

RASUAH YANG BERAKAR, UMBI & BERTUNJANG

Selang beberapa hari sahaja, kita dikejutkan oleh gejala rasuah dalam pasukan bolasepak dan persatuan yang menguruskannya. Kemelut dan onar yang merebak menanah bukan sahaja disekitar mereka yang memerintah, penjawat awam malah hampir kesegenap badan dan organisasi yang mendapat bantuan kewangan dari kerajaan, berupa peruntukan tahunan melalui bajet juga geran-geran (bukan geran tanah - ini sejumlah wang yang disalurkan untuk kemudahan persatuan atau pertubuhan bagi aktiviti yang berkaitan) geran-geran inilah yang acapkali digunakan dan disalahgunakan untuk mereka yang berkepentingan. Jumlahnya boleh mencapai ratusan juta ringgit - wang raayat yang secara mudah dipergunakan tanpa apa-apa tanggung jawaban baik oleh kerajaan atau penjawat awam yang diamanahkan.
Tidaklah memeranjatkan jika ini berlaku, kerana perpatah mengatakan " kalau kepala ikan dah busuk, yang lainnya akan turut busuk".
Kalau jawatan politik pemerintah berlaku perebutan yang sengit, tak hairan juga dalam persatuan sukan juga berlaku "politiking" perebutan kuasa dan kedudukan, bukan kerana ingin memajukan sukan seikhlasnya, tetapi untuk menyapu geran-geran juga wang penajaan yang kadang berjumlah jutaan ringgit lagi.
Jadi kalau pegawai-pegawai persatuan sukan menyapu dari geran-geran ini dan penajaan maka para ahli sukan dan pemain pun akan menyapu wang imbuhan dari broker kaki judi pada setiap perlawanan, lebih-lebih lagi perlawanan kejohanan.
Mutu sukan bolasepak misalnya terus menjunam, juga dalam sukan-sukan yang lain. Kita masih ingat pada sedekad yang lalu, sukan bolasepak begitu meriah dan lebih popular dari program realiti di TV. Penaja besar "Dunhill" begitu bersungguh dalam menaja sukan bolasepak, walaupun kita tahu keutamaan iklan barang pengguna matlamatnya. Tetapi kita harus ingat perbelanjaan untuk penajaan bagi Dunhill ada tanggung jawaban kepada pemegang sahamnya. Tetapi hari ini, penajaan besar dari syarikat-syarikat ada hubungkait dengan kerajaan (GLC) - TM , Proton dan sebagainya membuka peluang untuk memandang ringan akan ketelusan penajaan. Rasuah dan salah guna hasil geran dan penajaan begitu ketara sekali dikalangan mereka yang terlibat.
Jadi persoalannya, adakah rasuah dalam sukan dapat dibenteras?
Tiada keyakinan langsung rasuah akan dapat dihapuskan, lebih lebih negara masih dipimpin BN yang di-ibaratkan sebagai kepala ikan yang telah lama busuk dan berulat.

No comments: