KUALA PILAH – Banjir kilat walaupun hujan hanya turun dalam tempoh dua jam di Kampung Parit Istana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, menyebabkan beberapa rumah dinaiki air sehingga ke paras lutut.
Mangsa, Rusni Ibrahim, 48, ketika ditemui kelmarin berkata, hujan lebat yang melanda kawasan itu lewat petang Ahad lalu menyebabkan seluruh rumahnya dinaiki air hingga merosakkan perabot.
Menurutnya, dia dan suami tidak sanggup lagi berdepan kejadian kali kesembilan itu.
“Keadaan bertambah buruk apabila sistem perparitan di hadapan rumah tidak sempurna dan lancar.
“Setiap kali hujan, kami sekeluarga risau kerana takut rumah dimasuki air, selain terpaksa memindahkan peralatan ke tempat selamat,” katanya.
Rusni berkata, sistem perparitan berkenaan dilihat terlalu kecil dan tidak mampu menampung limpahan air yang naik mendadak, sekali gus memasuki rumahnya.
“Saya tidak mampu membaiki sistem perparitan di hadapan rumah kami kerana pendapatan tidak seberapa sebagai tukang bersih di Hospital Kuala Pilah, sekitar RM500 sebulan.
“Masalah ini sudah dimaklumkan dengan pihak berkenaan tetapi jawapan diterima amat mengecewakan. Mereka meminta saya membuatnya sendiri dengan kos RM400,” katanya.
Menurutnya, disebabkan mereka sekeluarga bukan orang senang, kos itu agak membebankan.
“Suami saya, Mohd Safuan Abdullah, 47, tidak bekerja kerana mengalami pendarahan otak dan boleh mengakibatkan strok.
“Suami menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM140 sebulan. Buat masa ini, saya sahaja yang mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga dan anak,” katanya.
Rusni berkata, sebelum ini, kawasan rumahnya tidak pernah dimasuki air tetapi selepas pembinaan sebuah kolam berhampiran, selain hujan lebat berpanjangan menyebabkan rumahnya ditenggelami air hingga paras lutut.
“Dahulu tidak pernah berlaku kejadian seperti ini. Justeru, saya berharap pihak berkenaan dapat membina longkang lebih besar dengan segera untuk mengatasi banjir kilat yang sering menghantui penduduk di sini.
“Saya juga terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meninggikan lantai di bahagian depan rumah bagi membolehkan lebih banyak barangan diselamatkan ketika air naik,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Adnan Abu Hassan berkata, pihaknya akan membuat: rundingan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Saya berharap kata putus dapat dibuat untuk mengatasi masalah yang membelenggu penduduk di sini,” katanya.
Komentar;
Permasa'alahan ini bukan kejadian terpencil, malah berlaku dibanyak kawasan dalam daerah Kuala Pilah. Penyelengaraan infrastruktur dan alam sekitar terus menjadi satu cabaran yang mesti diatasi oleh semua pihak yang terlibat. Budaya penyelengara'an atau 'maintainance culture' juga servis masih jauh keterbelakang baik dikalangan kakitangan 'majlis daerah/tempatan/dewan' juga pihak 'jabatan kerja raya' /peparitan dan sebagainya.
Orang ramai juga masyarakat setempat juga harus memainkan peranan. Kalau kita lihat laluan jalanraya dikawasan luar bandar banyak yang tidak terurus, bukan sahaja longkang serta peparitan yang tidak dibersihkan, yang tertimbus malah ada yang penuh dengan sampah sarap juga hakisan2. Kadangkala, semak samun hampir menutupi separuh jalan.
Saya memohon supaya, ketua kampong, JKKK, ADUN serta pemimpin masyarakat yang lain mainkanlah peranan anda. Kerana kuasa serta otoriti yang ada lebih membawa kesan bila berhubung dengan pihak2 berwajib yang bertanggunjawab.
No comments:
Post a Comment